Background

Adakah Free trade benar-benar wujud atau sekadar ilusi semata-mata?

Sebenarnya agak sukar untuk memberikan definisi secara literal mahupun kontekstual makna sebuah pasaran (atau 'perdagangan') bebas. Umum mengetahui 'bebas' ialah satu kata sifat yang menggambarkan sebuah pasaran yang bercirikan unsur-unsur kebebasan. Jika kita imbas kembali sejarah lama, nyata sekali ibu segala undang-undang pasaran bebas ini, iaitu undang-undang yang mengikat EEC (European Economic Community) yang terbentuk hasil daripada Triti atau Perjanjian Rom 1957, membenarkan barangan yang berasal dari sebuah negara anggota memasuki negara-negara anggota lain tanpa dikenakan sebarang cukai kastam. 

Selain daripada itu, perjanjian tersebut juga menggariskan tiada sebarang cukai baru akan diperkenalkan, sedangkan kadar cukai yang sedia ada tidak dinaikkan. EEC yang kini menjadi EU (European Union) menghadapi banyak masalah untuk memenuhi peruntukan itu.
Menurut Weason(2006) Perdagangan bebas secara literalnya merupakan sistem dasar perdagangan yang membenarkan para pedagang bertindak dan berurusniaga tanpa campur tangan kerajaan. Mengikut hukum faedah berbanding, dasar sebegini membenarkan rakan dagang saling berlaba daripada perdagangan barangan dan perkhidmatan.
 
Mengikut dasar perdagangan bebas, harga pasaran mencerminkan permintaan dan penawaran sebenar, dan satu-satunya penentu peruntukan sumber. Perdagangan bebas berbeza dari bentuk-bentuk dasar perdagangan yang lain yang mana peruntukan barangan dan perkhidmatan antara negara-negara berdagang ditentukan oleh harga tetapan pihak berkuasa yang tidak semestinya mencerminkan ciri-ciri permintaan dan penawaran sebenar. Harga tetapan ini merupakan hasil dasar perdagangan pelindung yang mana kerajaan akan campur tangan dalam pasaran dengan mengenakan penyelarasan harga dan sekatan bekalan. Campur tangan kerajaan sebegini boleh meningkatakan atau mengurangkan kos barangan dan perkhidmatan yang ditanggung oleh pengguna dan pengeluar.

Antara bentuk campur tangan termasuksubsidi, cukai dan tarif, halangan bukan tarif seperti perundangan kawalan dan kuota, dan juga perjanjian perdagangan terurus antara kerajaan seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Tengah(CAFTA) dan apa juga bentuk campur tangan kerajaan dalam pasaran yang menyebabkan harga tetapan.
Ataupun dengan erti kata yang lain untuk kita lebih memahami definisi ini, pasaran perlu dibuka sepenuhnya bagi pengaliran modal dan kerajaan perlu menghapuskan semua sekatan dan peraturan untuk pasaran berkembang. Pada zaman ini juga menyaksikan peningkatan perdagangan antarabangsa dengan pelbagai usaha untuk mengurangkan sekatan tarif, cukai dan sebagainya. Kuasa negara hanya memenuhi keperluan sektor ekonomi tetapi tidak campur tangan sepenuhnya kerana pasaran perlu dibiarkan bebas

Antara salah satu contoh fakta kes yang boleh diambil bagi menghayati amalan perdagangan bebas ini, tidak ada yang lebih baik daripada memilih kes-kes penting yang menarik yang telah berjaya memupuk pasaran bebas EU selama ini. Selepas lima tahun sejurus selepas dari Perjanjian Rom(1957) yang disertai oleh negara-negara asal (Jerman, Perancis, Itali, Belgium, Holland dan Luxembourg), Di negara Belanda satu kes telah diuji dan dijadikan kajian bagi membuktikan kebenaran kewujudan pasaran bebas ini.

Sebuah firma import, iaitu Van Gend En Loos telah memenangi kesnya. Mahkamah berpendapat bahan gam yang diimport dari Jerman tidak boleh dikenakan cukai tambahan. Peruntukan relevan dalam Perjanjian Rom mempastikan import tanpa cukai ataupun, sebaliknya, cukai yang sedia ada tidak boleh dinaikkan. Kes ini kini berdiri tegak laksana tiang seri dalam perundangan pasaran bebas EU. Ketika menjatuhkan hukumannya, mahkamah menukilkan satu piagam untuk negara-negara anggota demi memperkasakan sebuah pasaran bebas. Katanya, European Economic Community ialah sebuah orde baru perundangan dalam undang-undang antarabangsa. Dalam menghayati manfaat dari orde baru itu, negara-negara anggota telah mengurangkan hak mereka dalam beberapa bidang.

Warga orde baru itu adalah terdiri daripada negara-negara anggota dan rakyat masing-masing. Hak kedua-dua pihak mesti dilindungi oleh mahkamah negara anggota. Salah satu hak itu ialah menikmati kebebasan pergerakan barangan melintasi sempadan antara negara-negara anggota. Dengan kata-kata lain, barangan boleh diimport dan eksport secara bebas melintasi sempadan, tertakluk kepada syarat-syarat yang sama, tidak kira sama ada barangan itu dibuat di dalam atau di luar negeri. Prinsip ini mempastikan apabila dua pihak, katalah Malaysia dan Singapura, menyertai satu FTA, maka syarat sedemikian yang seimbang akan berkuat kuasa. Itulah FTA yang sepatutnya wujud, yang barangkali diikuti oleh negara-negara anggota EU saja. Namun apa yang berlaku di kalangan negara-negara lain mungkin berbeza. Mungkin kebebasan pergerakan barangan hanya terbatas pada barangan tertentu.

Bagi menjawab persoalan sama ada pasaran bebas ini benar-benar wujud atau hanyalah ilusi semata-mata, saya berpendapat pasaran bebas ini sememangnya wujud sejak dulu lagi tapi tidaklah sebebas mana seperti yang diwar-warkan oleh pendokong teori Liberalisme. Dengan adanya campurtangan bagi melindungi sesetengah barangan menjadikan pasaran tidaklah sebebas mana tetapi pemberatan lebih telah diberikan kepada Negara-negara maju berbandingan dengan Negara-negara yang sedang membangun. Misalnya, sekatan yang dikenakan sehingga sekarang untuk melindungi sektor pertanian dan tekstil Amerika Syarikat dan menghalang kemasukan barangan dari negara lain.

Analisis pasaran bebas
Terdapat beberapa data atau statistik digunakan bagi menerangkan kedudukan ekonomi pada era globalisasi ini yang lebih membuktikan ketidakseimbangan pengagihan kekayaan hasil dasar ekonomi yang berat sebelah hasil daripada kewujudan pasaran bebas ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB mengandaikan bahawa aset 200 orang terkaya di dunia lebih banyak daripada kombinasi pendapatan 2.5 bilion penduduk dunia ini. Jika pada tahun 1960, jumlah keseluruhan pendapatan 20 peratus penduduk terkaya dunia adalah 30 kali ganda lebih banyak berbanding pendapatan keseluruhan 20 peratus penduduk. Pada hari ini, jumlah tersebut meningkat kepada 85 kali ganda lebih banyak. Bagi pengagihan pendapatan pula, 20 peratus pihak yang kaya menikmati 82 peratus daripada pendapatan dunia (UNDP).
Selain itu turut berlaku ketidakseimbangan pasaran yang memberi kelebihan hanya kepada negara maju semata-mata iaitu:
(1) Pasaran buruh – pemisahan dunia buruh disebabkan adanya sekatan imigresen. Negara maju hanya menerima pekerja mahir dari negara membangun atau mundur sedangkan ideologi ekonomi dunia yang terbuka yang sering dilaungkan adalah untuk membantu negara-negara sedang membangun atau mundur. Pekara ini bertentangan dengan prinsip pasaran bebas itu sendiri dan melambangkan ia tidaklah sebebas mana seperti namanya.
(2) Akses kepada maklumat pasaran – penyebaran maklumat pasaran juga masih terbatas dan tidak menyeluruh terutama kepada negara-negara yang sedang membangun.
(3) Masih terdapat sekatan yang ketat terhadap negara sedang membangun dan negara miskin dalam soal import dan eksport walaupun pendukung globalisasi menjanjikan peningkatan pendapatan negara.. Tuntasnya, kewujudan pasaran bebas memang diakui ada, namun ia tidaklah sebebas mana yang digariskan dalam ciri-ciri teori ini.

Leave a Reply